.
Halal bermaksud dibenar dan tidak dilarang oleh Allah subhanahu wa taala. Ia bukan sahaja berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga berkait dengan pakaian, alat-alat perhiasan, kosmetik dan sebagainya.
.
Mengguna atau menikmati makanan dan barangan halal adalah tuntutan Allah subhanahu wa taala ke atas manusia terutama kaum muslimin. Allah subhanahu wa taala berfirman di dalam al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 88:
.
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah subhanahu wa taala kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman.”
.
Terdapat riwayat dari Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam yang menegaskan;
.
“Menuntut (mencari) yang halal wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam ad-Dailami dalam musnad al-Firdaus dari Anas radiallahu anhu. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya Hasan. Lihat al-Jami’ as-Saghier, hadis no 5270).
.
“Mencari yang halal adalah satu jihad.” (Riwayat Imam al-Qadha’ie dari Ibnu ‘Abbas radiallahu anhu dan Ibnu Nu’aim dari Ibnu ‘Umar. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini dhaoif. Lihat al-Jami’ as-Saghier, hadis no 5273).
.
Oleh kerana kewujudan makanan dan barang-barang di pasaran bergantung kepada pengeluaran, maka kewujudan syarikat-syarikat yang mengeluarkan makanan dan barangan halal merupakan tuntutan syarak. Tuntutan ini tergolong di dalam fardhu kifayah. Begitu juga memperniagakan barangan halal juga merupakan fardhu kifayah.
.
KONSEP ASAS HALAL DAN HARAM DI DALAM ISLAM.
.
Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam menjelaskan konsep asas halal dan haram ini di dalam Islam dengan sabda baginda;
.
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (samar-samar antara halal dan haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (samada halal atau haram). Oleh itu sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, maka dikuatiri binatang-binatang ternakannya akan masuk (dan makan rumput) di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja ada kawasan larangan, dan kawasan larangan Allah subhanahu wa taala ialah segala yang diharamkan olehNya. Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik seketul daging itu, baiklah seluruh jasad dan jika rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! Seketul daging yang aku maksudkan itu ialah hati.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bhukari dan Muslim dari Abi Abdillah an-Nu’man bin Basyir rahmatullahi alaihi).
Dari hadis di atas kita dapat mengambil beberapa ketetapan hukum:
.
1. Yang halal dan yang haram adalah jelas di dalam Islam.
Penetapan halal dan haram di dalam Islam adalah terang dan jelas. Setiap butiran yang halal dan yang haram terkandung di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Oleh yang demikian, setiap umat Islam WAJIB merujuk kepada ulamak yang mengetahui ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk mengetahui apa yang halal dan apa yang haram. Lebih utama untuk melakukan rujukan tersebut ialah para pengeluar dan para peniaga kerana kesilapan mereka akan turut membabitkan orang lain dalam menikmati makanan atau barangan yang haram atau tidak halal.
.
Menurut ulamak, halal atau tidaknya sesuatu makanan atau barangan itu bergantung kepada 2 faktor:
.
a) Zat makanan dan barangan itu sendiri hendaklah tidak tergolong dalam perkara yang dikategorikan haram oleh syarak.
b) Sekalipun zat sesuatu makanan dan barangan itu halal, namun jika diperolehi dengan jalan riba, penipuan dan sebagainya, maka ia adalah haram di sisi syarak.
.
Lebih terperinci, semua makanan dan barangan yang hendak diisytiharkan halal hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut;
.
a) Ia tidak mendatangkan mudarat kepada akal dan badan.
b) Ia bebas dari najis.
c) Ia bukan produk yang diperolehi dari sumber babi dan anjing.
d) Bagi produk yang diperolehi dari sumber binatang-binatang lain yang halal dimakan (khususnya binatang darat) hendaklah dipastikan ianya disembelih mengikut hukum syarak.
e) Ia diperolehi melalui sumber yang diharuskan.
.
Dalam pengeluaran barang-barang halal, para pengeluar hendaklah memastikan bahan mentah dan ramuan yang digunakan hendaklah halal. Binatang yang halal untuk dimakan seperti lembu, kambing dan sebagainya mestilah disembelih mengikut hukum Islam, di mana penyembelihannya dilakukan oleh orang Islam dengan mematuhi syarat-syarat penyembelihan yang ditetapkan.
.
2. Jauhi yang syubhat.
Di persimpangan antara yang halal dan haram tersebut terdapat yang samar-samar yang belum pasti statusnya; apakah ianya halal atau haram, iaitu perkara-perkara syubhat. Langkah terbaik menurut Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam ialah dengan meninggalkannya. Sebagai seorang Islam yang ingin memperbaiki diri dari masa ke semasa, adalah tidak wajar kita mengambil risiko memasukkan sesuatu makanan yang diragui kehalalannya , kerana “ … yang halal dihisab dan yang haram diazab … “ dan lagi bila sesuatu makanan yang diragukan kesuciannya kita makan, maka ia perlu dibersihkan samada di dunia ini atau dibersihkan selepas mati.
.
3. Hubungkait antara halal-haram dengan hati.
Di hujung hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wassalam menyebutkan tentang “HATI” dan pengaruhnya terhadap perlakuan manusia samada baik atau buruk. Hubungkait ini boleh kita jelaskan dengan 2 tafsiran”
.
a) Kesedaran untuk menjaga halal dan haram bergantung kepada hati yang bersih. Hanya orang yang memiliki hati yang bertaqwa dan takutkan Allah subhanahu wa taala akan memerhatikan makanan atau barangan yang dimakannya. Bagi mereka perkara utama yang dititikberatkan adkah makanan tersebut boleh menjejaskan “SPIRITUAL” mereka. Adapun orang fasik dan memiliki hati yang kotor, baginya tidak penting samada rezeki yang dinikmati halal atau tidak; yang penting adalah memenuhi selera dan nafsu ammarahnya.
.
b) Bersih dan suci hati berkait dengan makanan dan penggunaan barangan yang halal. Jika seseorang itu sentiasa melazimi yang halal, akan terjagalah hatinya. Akan tetapi jika ia mula terlibat dengan yang haram, akan kotor dan rosaklah hatinya.
.
PENTINGNYA MAKANAN YANG BERSIH DAN SUCI
.
Islam amat mementingkan kebersihan. Kebersihan yang dituntut oleh Islam merangkumi kebersihan lahiriyah dan kebersihan rohaniyah. Kebersihan lahiriyah ialah dengan memastikan pakaian dan tubuh badan sentiasa dalam keadaan bersih terutamanya untuk beribadah. Oleh yang demikian, umat Islam perlu memastikan produk yang mereka gunakan pada badan mereka samada berupa pakaian, minyak wangi, syampu, ubat gigi, kosmetik dan sebagainya dibuat dari bahan-bahan yang bersih dan tidak najis.
.
Allah subhanahu wa taala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 222;
.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri (dari kotoran dan najis).”
.
Allah subhanahu wa taala menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa ia menyukai orang-orang yang suka bertaubat dan membersihkan diri. Maka mafhum mukhalafah (yakni pemahaman sebaliknya) dari ayat tersebut ialah; orang yang banyak melakukan dosa dan tidak menjaga dirinya dari najis dan kekotoran, ia akan dibenci oleh Allah.
.
Dalam sebuah hadis, Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam menegaskan;
.
“Tidak diterima solat tanpa bersuci.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).
.
Telah disepakati (atau diijmakkan) oleh para ulamak bahawa bersuci yang menjadi syarat sahnya solat itu merangkumi bersuci dari najis disamping bersuci dari hadas. Oleh yang demikian, memakai atau membawa produk-produk yang diperbuat dari najis atau yang mempunyai unsur-unsur bahan najis dalamnya akan menyebabkan tidak sah solat.
.
Bersuci batiniyah pula ialah dengan mengelak dari terjerumus dalam dosa termasuk dalam hal makan-minum. Menikmati makanan yang haram atau tidak halal merosakkan batin seseorang kerana ia telah melakukan dosa kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam menegaskan:
.
“Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya. (Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawiah dari ‘Atak dari Ibnu Abbas radiallahu anhu).
.
MELAZIMI YANG HALAL AKAN DIMUSTAJABKAN DOA
.
Seorang sahabat bernama Saad bin Abi Waqqas radiallahu anhu pernah memohon kepada Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam:
.
“Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar aku dimustajabkan doa.” Lalu Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam berkata kepadanya:
“Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya oleh Allah selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging dari badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya.” (Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawiah dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas radiallahu anhu)
. .
.
Dalam sebuah hadis Riwayat Imam Muslim, Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam pernah bercerita tentang seorang lelaki yang kesusahan kerana jauh mengembara, rambutnya kusut masai dan tubuh badannya berdebu, ia memohon kepada Allah dengan menyeru;
.
“Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Sedang makanan yang dimakannya adalah haram, minuman yang diminumnya juga haram serta pakaian yang dipakainya juga haram, malah ia diberi makan dengan yang haram, maka bagaimana hendak diperkenankan oleh Allah doanya? (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallhu anhu)
.
SIKAP UMAT AKHIR ZAMAN
.
Dalam sebuah hadis, Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam telah meramalkan keadaan umat akhir zaman yang tidak mengambil berat soal halal dan haram, dosa dan pahala. Baginda bersabda:
.
“Akan tiba satu zaman di mana seseorang itu tidak menghiraukan dari mana datang hartanya; apakah dari yang halal atau dari yang haram.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan an-Nasai dari Abu Hurairah radiallahu anhu)
.
Salah satu mudarat dosa ialah ia menghalang keluasan rezeki sebagaimana sabda Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam ; .
.
“Sesungguhnya seseorang itu akan terhalang dari rezeki kerana dosa yang dilakukannya.” (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dari Thauban radiallahu anhu; al-Jami’ as-Saghir, Imam Suyuti, hadis no 1975.)
.
Seorang ulamak Islam terkenal iaitu al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah menyenaraikan lebih 15 kemudaratan yang bakal menimpa manusia kerana dosa itu:
.
1. Kurang mendapat petunjuk dari Allah,
2. Rosaknya pandangan dan akal fikiran,
3. Terhijab diri dari mengenali kebenaran,
4. Hati menjadi rosak,
5. Rendah sebutan nama di mata manusia lain,
6. Waktu dalam kehidupan menjadi sia-sia,
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah,
8. Hubungan dengan Allah menjadi ranggang,
9. Doa tidak akan dimakbulkan Allah,
10. Hati menjadi keras,
11. Tidak ada keberkatan pada rezeki dan umur,
12. Terhalang dari mendapat ilmu,
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina,
14. Akan dihina dan diperlekehkan oleh musuh,
15. Dada sentiasa sempit dan resah,
16. Diuji oleh Allah dengan teman dan kawan yang jahat,
17. Sentiasa dalam keadaan dukacita dan kebimbangan,
18. Kehidupan dan rezeki menjadi sempit,
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram,
.
(Rujuk kitab al-Fawaid oleh al-‘Allamah ibnul Qayyim al-Jauziyah)
.
DOA RASULULLAH DI WAKTU PAGI
.
Menurut Ummu Salamah radiallahu anha (salah seorang isteri Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam ); Nabi apabila berada di waktu pagi akan membaca berdoa:
“Ya Allah wahai TuhanKu! Aku memohon dari Engkau ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.” (Riwayat Imam Ibnu Majah, lihat al-Azkar, Imam an-Nawawi)
.
Waktu pagi adalah permulaan hidup kita. Pada waktu pagi manusia biasa merancang apa yang hendak dilakukan pada hari yang bakal ia lalui. Dalam doa di atas, Rasulullahi sallallahu alaihi wassalam mengajar kita supaya memfokuskan 3 perkara untuk kita capai dalam perjalanan hidup kita seharian, salah satu darinya ialah rezeki yang baik iaitu rezeki yang bersih dan halal serta diberkati Allah.
.
Doa di atas bukan sahaja perlu dijadikan amalan harian, malah perlu menjadi motivasi kepada pengeluar, pengusaha dan peniaga muslim untuk lebih menggiatkan usaha mengeluar dan memperniagakan produk-produk halal khususnya yang berkait dengan makanan dan barang-barang kegunaan harian kerana usaha tersebut membuka medan seluas-luasnya kepada kaum muslimin untuk dapat menikmati rezeki yang baik (yang bersih, halal dan diredhai Allah) sehingga tidak ada alasan lagi untuk mereka terlibat dengan yang haram.
.
YANG HALAL DIHISAB, YANG HARAM DIAZAB